Isnin, 9 April 2012

PERSOALAN MENGENAI MUNAFIQ

ISLAM adalah satu-satunya cara hidup menepati kehendak fitrah manusia. Segala hukum aturan hidup Muslim ditetapkan berdasarkan tuntutan lahiriah dan rohaniah. Allah mengetahui segala keperluan setiap hamba-Nya dan menetapkan apa diperlukan.

Salah satu aturan hidup Islam ialah menepati janji. Firman Allah bermaksud: Wahai mereka yang beriman! Sempurnakan janji-janjimu. (Surah al-Maidah, ayat 1)

Menepati janji adalah sifat terpuji yang diamalkan oleh rasul dan nabi. Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya dia (Nabi Ismail) adalah benar menepati janji, dan adalah dia seorang rasul lagi berpangkat nabi. (Surah Maryam, ayat 54)
Islam mementingkan menepati janji kerana ia adalah keperluan membentuk hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Setiap masa manusia perlu menunaikan janji dan kesetiaan yang diucapkan.

Perkara utama ialah menepati janji dengan Allah. Setiap Muslim mengikat janji mengabdikan diri kepada Allah. Ia bertepatan dengan tujuan Allah menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi.

Firman Allah bermaksud: Tidak Aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri dan beribadat kepada-Ku. (Surah adz-Dzariyat, ayat 56)

Dalam ucapan kalimah syahadat, setiap Muslim mengakui kekuasaan Allah dan kerasulan Nabi Muhammad. Pengakuan itu adalah janji untuk mematuhi segala syariat ditetapkan Allah dan mengikuti contoh amalan ditunjukkan oleh Rasulullah.

Hubungan janji sesama manusia adalah sendi kehidupan bermasyarakat. Setiap hari kita tidak terlepas daripada mengungkapkan perkataan bermaksud janji.

Janji bermaksud kesediaan dan persetujuan untuk melakukan, tidak melakukan, memberi, mendapatkan dan menjadikan sesuatu, benda atau keadaan. Kesediaan itu biasanya berkaitan tempoh masa akan datang atau selepas itu.

Orang berjanji sebagai pihak pertama dan orang mengharapkan janji ditunaikan (dijanjikan) sebagai pihak kedua. Jika ada pihak menyaksikan perjanjian, dianggap pihak ketiga.

Pentingnya menunaikan janji sebagai akhlak orang mukmin. Sebaliknya, sifat tidak menepati janji menjadikan seseorang munafik.

Sabda Rasulullah bermaksud: Tiga perkara sesiapa yang berada dalam dirinya, maka dia munafik, walaupun dia berpuasa, sembahyang dan mengaku dirinya Muslim. Apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri janjinya dan apabila dipercayai dia khianat. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sifat munafik itu kekal dalam diri mereka yang tidak menunaikan janji, melainkan selepas dia benar-benar bertaubat dan bersungguh-sungguh tidak mahu mengulangi perbuatan itu.

Amat rugi sesiapa tergolong sebagai munafik. Balasan paling berat ditetapkan kepada golongan munafik. Justeru, berusahalah mengelak diri daripada melakukan dusta berkaitan janji.

Janji wajib ditunaikan hanya bagi maksud kebaikan. Janji melakukan keburukan haram diucapkan dan haram ditunaikan. Sesiapa berjanji melakukan perbuatan haram perlu mengubah niat dan segera bertaubat.

Sikap memegang janji perlu diutamakan bagi menjaga hubungan baik dengan pihak dijanjikan. Sesungguhnya apabila membuat janji, bermakna terbentuk satu tanggungjawab melaksanakannya. Tanggungjawab samalah dengan amanah, yakni perlu dilaksanakan sedaya mungkin.

Sesiapa ingin menerima akuan janji (sebagai pihak kedua) perlu menyelidiki sama ada orang berjanji itu digolongkan beramanah atau sebaliknya. Tidak ada gunanya menerima janji dengan mereka yang dikenali tidak beramanah. Tentu janji itu tidak akan ditunaikan.

Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). (Surah an-Nisa, ayat 58)

Dalam ayat lain pula dikaitkan di antara amanah dengan janji. Firman-Nya bermaksud: Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. (Surah al-Mukminun, ayat 8)

Ikatan janji membentuk satu amalan saling menghormati di antara kedua-dua pihak mengikat janji. Pihak pertama yang mengucapkan janji mempunyai perasaan menghormati pihak kedua yang secara jujur menerima janji itu.

Ada pihak bersumpah atas nama Allah semata-mata agar janjinya diterima. Ia dianggap lebih meyakinkan pihak kedua. Malangnya, sumpah dibuat main-main dan dianggap sekadar seperti perkataan biasa.

Sesiapa bersumpah dengan nama Allah menanggung tanggungjawab paling berat yang perlu dilaksanakan. Selagi sumpah itu tidak dilaksanakan, maka ia tidak dapat ditarik kembali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan